suria

Kereta Mewah, Tujuh Ekor Ikan Kelisa Rentung Kebakaran Di Melaka

MELAKA: Sebuah kereta mewah serta tujuh ekor ikan kelisa rentung dalam satu kebakaran yang turut memusnahkan sebuah rumah teres dua tingkat milik seorang kontraktor di Taman Ara Permai, Batu Berendam di sini, Isnin.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Balai Ayer Keroh Wan Azlan Wan Abdul Jalil berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.52 pagi dan tiba di lokasi 15 minit kemudian dengan enam jentera bersama 27 anggota dari Balai Ayer Keroh, Bukit Katil dan Jalan Kubu.

"Asap dapat dilihat dari jarak 1.5 kilometer dan api dalam keadaan marak di bahagian hadapan rumah ketika bomba tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi Isnin.

Beliau berkata pihaknya terpaksa memecahkan siling rumah bersebelahan bagi mengelak api daripada merebak dan kebakaran dapat dikawal 45 minit kemudian sebelum api berjaya dipadam sepenuhnya pada 12.20 tengah hari.

Bagaimanapun, katanya, hampir 90 peratus struktur rumah itu musnah dijilat api.

Wan Azlan berkata bomba juga berjaya menyelamatkan seekor burung kakak tua serta anjing milik mangsa yang terperangkap dalam kebakaran itu.

Beliau berkata ketika kejadian, pemilik rumah yang berusia 58 tahun tiada di kediamannya kerana membawa isteri ke sebuah klinik di Jalan Bendahara di sini.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain