suria

Wanita Maut Kemalangan Di Lebuhraya Utara-Selatan Dekat Seremban

SEREMBAN: Seorang wanita maut manakala suaminya parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Km 249.5 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran hentian sebelah Senawang dekat sini Khamis.

Kereta Perodua Viva yang dipandu Julia Osman, 26, itu kemudian dilanggar sebuah kereta lain yang datang dari arah belakang.

Kemalangan pada pukul 6.45 pagi itu menyebabkan Julia mati di tempat kejadian manakala suaminya Abdul Rahman Abu Bakar, 27, yang duduk di sebelah pemandu cedera parah.

Mayat Julia di hantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan suaminya yang cedera di kepala dan tangan kini dirawat di hospital sama, kata jurucakap polis.

Beliau berkata ketika kejadian, pasangan itu dikatakan dalam perjalanan dari Melaka ke Semenyih, Selangor.

"Pasangan yang tersepit dalam kereta itu dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang," katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban atau Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohd Hafidzal Zainal Abidin di talian 06-6033222. - BERNAMA

Artikel Lain