suria

Polis Jumpa Mayat Lelaki Dalam Beg Plastik Hitam

SEPANG: Polis pada Sabtu menemui mayat seorang lelaki di dalam beg plastik sampah berwarna hitam, di tepi jalan di Sungai Merab Luar, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang DSP Zaldino Zaludin berkata mayat itu yang dalam keadaan kaki dan tangan diikat, ditemui orang awam pada 10.45 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis. "Siasatan awal mendapati mangsa mungkin dibunuh namun punca kematian, bangsa, umur dan warganegara masih belum dapat dikenal pasti," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mayat itu yang ditemui tanpa sebarang dokumen, lengkap berpakaian dengan baju-T berwarna hijau dan seluar coklat.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan agar tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain