suria

Ketua Polis Negara, Timbalannya Menghadap Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Isnin berkenan menerima menghadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Timbalannya, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, di Istana Negara di sini.

Majlis yang bermula pukul 10 pagi itu turut disertai pegawai-pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Majlis menghadap itu adalah yang pertama oleh Khalid selepas dilantik sebagai Ketua Polis Negara berkuat kuasa 17 Mei lepas bagi menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang bersara wajib.

Mohd Bakri dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu menggantikan Khalid, berkuat kuasa hari yang sama.

Antara pegawai tertinggi PDRM yang hadir pada majlis yang berlangsung selama 45 minit itu ialah Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, Pengarah Cawangan Khas Datuk Seri Akhil Bulat, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan dan Pengarah Pengurusan Datuk Mortadza Nazarene.

Pada majlis berasingan, Yang di-Pertuan Agong turut berkenaan menerima menghadap Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Majlis berlangsung selama 20 minit bermula 11.30 pagi. - BERNAMA

Artikel Lain