suria

PKR Lantik Semua Wanita Anggotai Exco Selangor

KLANG: Parti Keadilan Rakyat (PKR) membariskan semua wanita bagi mengisi tiga kuota ahli exco Selangor yang diperuntukkan untuk parti itu.

Wakil Rakyat penggal pertama, Dr Daroyah Alwi akan menyertai Elizabeth Wong dan Rodziah Ismail dalam pasukan exco Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dr Daroyah yang merupakan seorang doktor gigi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa pada Pilihan Raya Umum ke-13 5 Mei lalu, manakala Wong dan Rodziah masing-masing berjaya mempertahankan kerusi Bukit Lanjan dan Batu Tiga.

Turut menyertai pasukan itu ialah Adun penggal pertama, V. Ganabatirao (DAP-Kota Alam Shah) dan guru agama, Sallehen Mukhyi (PAS-Sabak).

Sallehen, 40, sebelum ini adalah Adun Sungai Besar pada 1999 hingga 2004.

Namun pada 2004, kawasan Sungai Besar dijadikan sebagai satu kerusi Parlimen.

Selain itu Exco Selangor akan turut dianggotai bekas speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang), Iskandar Samad (PAS-Cempaka), Dr Halimah Ali (PAS-Selat Kelang), Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang).

Artikel Lain