suria

Anak Lajim Ukin Didakwa Guna Dokumen Palsu Berhubung Pelaksanaan Projek

KUALA LUMPUR: Seorang anak bekas timbalan menteri pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung pelaksanaan projek pembinaan jalan di Batu Pahat, Johor.

Mohd Nizam Lajim, 31, didakwa dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu sekeping lampiran bertarikh 25 Julai 2012, yang bertajuk "Senarai Syarikat Yang Dicadangkan Untuk Melaksanakan Projek Membina Jalan Mukim 6 Linau dan Mukim 7, Tg. Semberong, Batu Pahat, Johor Secara Tender Terhad" yang diperakukan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Syarikat yang disenaraikan ialah Moral Bahagia Sdn Bhd, Prestasi Reka Sdn Bhd, Satria Mara Sdn Bhd, Sanjung Sempurna Sdn Bhd, Pertama Makmur Sdn Bhd, Mansashi Sdn Bhd, H & A Construction Sdn Bhd, Nisa Consolidated Sdn Bhd, Bina-Mas Construction Sdn Bhd dan Landscape Sdn Bhd.

Anak kepada bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Berjaya Starbucks Coffee, Lot No G40, The Mall, No 100, Jalan Putra dekat sini pada 3.40 petang, 8 Ogos 2012.

Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel Lain