suria

Kes Herald: Enam Majlis Agama Islam Negeri, MACMA Dibenar Mencelah

PUTRAJAYA: Enam Majlis Agama Islam Negeri dan sebuah sebuah persatuan dibenar menjadi pencelah dalam pertikaian berkaitan penggunaan kalimah 'Allah' oleh majalah mingguan Katolik, The Herald.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin membuat keputusan itu selepas peguam Mubashir Mansor, yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu memaklumkan semua pihak terbabit mencapai persetujuan bagi membenarkan tujuh organisasi menjadi pencelah dalam prosiding rayuan berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah'.

Peguam Porres Royan, yang mewakili pihak gereja, mengesahkan perkara itu.

Organisasi berkenaan adalah Majlis Agama Islam Terengganu, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Kedah, Majlis Agama Islam Melaka, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Johor dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).

Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009, yang membenarkan semakan kehakiman Gereja Roman Katolik bagi menarik balik larangan KDN berhubung penggunaan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada Tuhan Kristian dalam majalah mingguannya.

Turut menganggotai panel itu ialah Datuk Balia Yusof Wahi dan Datuk Rohana Yusuf.

Pada 8 Mei lepas, panel itu mempersoal kesesuaian prosedur yang diguna pakai Mahkamah Tinggi bagi mendengar secara serentak semakan kehakiman pihak gereja dan permohonan majlis agama islam berkenaan untuk menjadi pencelah, serta memerintahkan semua pihak berhujah berhubung isu itu.

Panel itu juga berkata jika terdapat sebarang perkara di luar aturan dalam prosedur Mahkamah Tinggi, kes itu boleh dikembalikan untuk perbicaraan semula. Pada prosiding hari, Mubashir memaklumkan panel itu bahawa semua pihak bersetuju tidak ada sebarang perkara di luar aturan dalam prosedur Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakimannya pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan mengisyhtiharkan keputusan Menteri Dalam Negeri melarang Herald menggunakan kalimah 'Allah' dalam edisi Bahasa Malaysianya yang diterbit khusus untuk rakyat Sabah dan Sarawak, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 16 Februari 2010, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan gereja serta menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden.

Gereja itu menuntut, antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Jan 2009 berhubung larangan itu adalah tidak sah, dan kalimah 'Allah' bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Majalah mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah 'Allah' sebagai terjemahan untuk 'God' bagi seksyen bahasa Malaysia namun kerajaan berhujah bahawa kalimah 'Allah' hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.

Rayuan kerajaan, yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Arik Sanusi Yeop Johari, dijadual untuk pengurusan kes pada 30 Mei ini. - BERNAMA

Artikel Lain