suria

Anggota Bomba Sukarela Dakwa Dibelasah Penyokong Parti

GEORGE TOWN: Seorang anggota bomba sukerala mendakwa dibelasah sekumpulan penyokong sebuah parti di Taman Merak Jaya, Seberang Perai Tengah awal pagi Rabu.

Ho Boon Kai, 24, terpaksa dirawat di Hospital Pulau Pinang akibat cedera di mata kanan dan badan dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu.

Kejadian berlaku apabila kereta mangsa bertembung dengan sebuah lori kontena secara mengejut dan pada masa yang sama seorang penunggang motosikal hilang kawalan dan terbabas berhampiran kawasan kejadian.

"Saya sempat memberhentikan kereta saya, tetapi penunggang motosikal itu jatuh dengan sendiri dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Tetapi kira-kira 15 orang lelaki yang membawa bendera sebuah parti yang melalui kawasan itu mungkin menyangka saya yang menyebabkan kematian itu lalu membelasah saya," katanya kepada pemberita di hospital itu di sini, Khamis.

Ho berkata ada antara penyerang itu mengambil batang bendera dan memukulnya sehingga cermin matanya pecah dan kaca itu tercucuk ke dalam matanya.

"Saya merayu kepada mereka serta cuba menceritakan perkara sebenar namun tidak dipedulikan," katanya dan menambah dompet dan telefon bimbitnya turut disamun. Beliau berkata abangnya yang turut bergegas ke tempat kejadian bagi membantunya juga dipukul.

Mereka telah membuat laporan polis. Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan yang melawat Ho mahu polis mempercepat siasatan supaya mereka yang bertanggungjawab menerima hukuman yang setimpal.

Jurucakap Pilihan Raya Polis Kontinjen Negeri ACP Roslee Chik mengesahkan menerima laporan kes itu dan siasatan sedang dijalankan.

"Kita telah mengambil keterangan daripada mangsa dan saksi serta minta orang ramai tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain