suria

Kad Laporan Kerajaan Kelantan Diberi Gred F - Muhyiddin

JELI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi gred 'F' kepada kad laporan kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan PAS dari segi prestasi pembangunan negeri di bawah pemerintahan parti pembangkang itu selama 23 tahun.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau memberi gred F yang bermakna gagal dan menterjemahkan bahawa kerajaan negeri tidak boleh terus memimpin Kelantan ekoran kegagalan itu.

"Hari ini saya nak buat 'report card' (buku laporan' untuk Kerajaan Kelantan. Apakah prestasi yang dicapai oleh kerajaan-kerajaan sekarang di bawah pakatan pembangkang termasuk di Kelantan.

"Saya bagi 'F' untuk Kelantan kerana banyak janji mereka (kerajaan negeri) yang tidak ditunaikan dan banyak masalah yang tak diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada kira-kira 20,000 hadirin pada Program Himpunan Rakyat 1Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Kebangsaan Gemang dekat sini, Rabu.

Turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Muhyiddin berkata, sebelum memberi gred kepada kerajaan negeri, perkara yang perlu dinilai ialah janji-janji mereka dari segi pembangunan infrastruktur.

Katanya, banyak kemudahan asas dan pembangunan infrastruktur gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Kedua, dari segi ekonomi supaya Kelantan menjadi sebahagian daripada negeri-negeri yang dapat merancakkan ekonomi di negara kita. Tetapi mereka gagal untuk melakukan apa yang sesuai.

"Ketiga adalah soal untuk meningkatkan syiar Islam walaupun PAS kata mereka parti Islam yang mahu memperjuangkan syiar Islam dan menegakkan negeri 'Serambi Mekah'. Tapi kita tahu PAS sudah gagal," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain