suria

Sokongan Penjawat Awam Penting Dalam Meneruskan Dasar Kerajaan - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU: Sokongan penjawat awam terhadap Barisan Nasional (BN) penting dalam pilihan raya umum ke-13 bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lancar, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata kerajaan pusat telah melaksanakan pelbagai transformasi terhadap perkhidmatan awam terutamanya berhubung dengan penyelarasan gaji dan kenaikan gred jawatan yang memberi impak positif terhadap taraf hidup penjawat awam.

"Sebagai penjawat awam kita perlu terus menyokong kerajaan serta bersyukur dengan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk kita. Penjawat awam perlu bersatu dalam mengerakkan dasar kerajaan. Sekiranya penilaian tidak bijak dibuat, kita akan rugi. "Pembangkang mahu mengurangkan separuh kakitangan awam, tindakan itu akan menyebabkan masalah pengangguran akan bertambah, para graduan juga tidak dapat kerja," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Negeri Terengganu 2013 di Wisma Darul Iman pada Selasa.

Beliau berkata kerajaan telah menunjukkan keseriusan dalam meningkatkan prestasi negara dengan pelaksanaan berbagai-bagai perubahan dan penambahbaikan terhadap perkhidmatan awam baik di peringkat pusat dan negeri. -BERNAMA

Artikel Lain