suria

Rasai Pengalaman 'Ubah' Atau Hadapi Risiko Kehilangan Semua Perkara Baik -PM

KUCHING: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu kaum Cina di Sarawak merasai pengalaman 'Ubah' yang dijanjikan pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kerana ia akan mengakibatkan semua perkara baik yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN), menjadi sia-sia.

Perdana menteri berkata Malaysia satu-satunya negara, selain China dan Taiwan, yang bukan sahaja mengiktiraf pendidikan Cina tetapi turut menjamin masa depannya sebagai perkara yang mesti dalam sistem pendidikan kebangsaan.

"Jadi, saya merayu kepada anda semua, jika anda sayang 'Ajib Kor,' maka undilah (Datuk) Yong (Khoon Seng), calon BN bagi kerusi parlimen Stampin," katanya dengan disambut tepukan gemuruh 5,000 hadirin, sebahagian besar daripadanya melambaikan sepanduk 'I love PM' pada majlis perasmian dan pecah tanah blok baharu SJK (C) Chung Hua No. 2 at Jalan Stutong di sini, Sabtu.

Yong, yang mempertahankan kerusi Stampin bagi penggal keenam, dicabar Julian Tan Kok Ping daripada DAP dan Soo Lina daripada Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) dalam pertembungan tiga penjuru 5 Mei ini.

Najib berkata adalah penting untuk kaum Cina, yang membentuk kira-kira 76 peratus pengundi, menyokong BN dengan mengekalkan Yong sebagai anggota parlimen agar beliau dapat memberi khidmat kepada mereka dengan berkesan.

Beliau turut mengingatkan kaum itu bahawa sejak menjadi perdana menteri pada 2009, sekolah Cina di negara ini menerima peruntukan tahunan RM100 juta manakala gaji dan bonus guru mereka ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain