suria

Pengundi Cina Kembali Bersama BN di Kuantan & Indera Mahkota

KUANTAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota yakin masyarakat Cina di kawasan berkenaan akan memberi mandat kepada BN pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei ini.

Menerusi kempen dan program bersemuka dan bersama kelompok-kelompok masyarakat Cina di sini, kalangan kaum Cina melahirkan sokongan dan keyakinan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meneruskan agenda transformasi negara.

Calon BN bagi Parlimen Kuantan, Datuk Mohamed Suffian Awang berkata mereka sedar bahawa hanya wakil rakyat BN dan kerajaan BN yang mampu meneruskan agenda pembangunan lestari di bandar itu, sekali gus memacu pertumbuhan sosio-ekonomi yang lebih pesat. "Mereka (pengundi Cina) inginkan Kuantan maju, pesat membangun dan dinaikkan taraf sebagai sebuah bandar raya," katanya yang berasal dari Kampung Galing Besar dekat sini kepada Bernama.

Mohamed Suffian yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata rata-rata masayrakat Cina sedar segala masalah berkaitan penduduk ditangani kerajaan pusat dan kerajaan BN negeri dan bukan oleh penyandang kerusi berkenaan, Fuziah Salleh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengenai masalah banjir dan kesesakan trafik di kawasan berkenaan, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lepas, telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi mengatasi masalah berkenaan.

Calon BN bagi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata sejak lima tahun lepas di bawah wakil rakyat PKR Azan Ismail, pembangunan di kawasan Indera Mahkota seolah-olah terpinggir.

Rakyat kini sedar bahawa hanya wakil rakyat BN sahaja mampu membawa agenda perubahan daripada segi ekonomi dan sosial kepada semua kaum, katanya yang pernah menjadi wakil rakyat kawasan itu pada 2004, sebelum bertukar kawasan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur pada pilihan raya umum 2008.

Wan Adnan yang juga Exco kerajaan negeri Pahang akan ditentang calon PKR, Datuk Fauzi Abdul Rahman, yang juga Pengerusi PKR Pahang.

Sementara itu, Datuk Chang Hong Seong, penyandang dan calon kerusi DUN Teruntum (dalam parlimen Kuantan) berkata, sokongan masyarakat Cina kepada B Ndilihat semakin meningkat menerusi gerak kerja jentera kempen BN.

"Masyarakat Cina mahukan pembangunan pesat, yang menyuburkan kegiatan ekonomi, selain itu mereka juga mahu melihat pembangunan insfrastruktur yang lebih baik," katanya.

Menurut beliau tohmahan bahawa kilang Lynas berbahaya juga tidak lagi menjadi isu kepada kaum berkenaan: "Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di kawasan Perindustrian Gebeng, bersebelahan dengan kilang Lynas, sebenarnya membuka mata semua pihak.

"Asasnya mudah sekali, jika mereka (pelabur China) merasakan kilang Lynas itu berbahaya, mereka pasti tidak akan melabur di MCKIP ini dan ini sebenarnya membuka mata masyarakat Cina, yang sebelum ini dikaitkan dengan penentangan terhadap kilang Lynas itu," katanya.

Projek Taman Perindustrian yang dijangka menarik pelaburan RM10.5 bilion dan bakal menyediakan 8,500 peluang pekerjaan itu membuktikan bahawa kilang memproses nadir bumi, Lynas di Gebeng adalah selamat. Penyandang dan calon BN bagi kerusi DUN Semambu (parlimen Indera Mahkota), Datuk Pang Tsu Ming berkata masyarakat Cina sebelum ini mungkin terpengaruh dengan tuduhan dan dakwaan tidak berasas pihak pembangkang.

"Bagaimanapun dengan membuat program bersama rakyat, kita berpeluang menjelaskan perkara sebenarnya dan ianya dapat membuka minda dan pemikiran pengundi Cina khususnya untuk mereka menilai dengan bijak sebelum membuat pilihan kerajaan yang benar-benar menjanjikan masa depan lebih baik," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain