suria

PRU-13 Sangat Signifikan - Najib

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini, sangat signifikan kepada beliau kerana jika Barisan Nasional (BN) kekal mentadbir negara, beliau akan pertama kali menerima mandat mengetuai kerajaan.

"Bagi diri saya, buat pertama kali saya bertanding bukan sahaja sebagai calon parlimen Pekan tetapi jika diizinkan Allah, calon untuk mengetuai kerajaan persekutuan," kata perdana menteri.

Najib yang juga pengerusi BN dan penyandang kerusi parlimen Pekan, berkata demikian ketika berucap pada program sarapan bersama perdana menteri di Pusat Daerah Mengundi Ketapang dekat sini, Khamis.

Justeru, perdana menteri berkata satu daripada penilaian terhadap kepimpinan beliau ialah sejauh mana pengundi di kawasan parlimen Pekan memberi sokongan kepadanya untuk memperoleh majoriti lebih besar dan terbaik berbanding pilihan raya umum 2008.

Najib berkata kemenangan dengan majoriti lebih besar pada pilihan raya kali ini bagi kerusi parlimen berkenaan juga akan membolehkan beliau lebih dihormati oleh rakyat negara ini.

"Jika rakyat di Pekan beri sokongan padu, maka rakyat di seluruh negara akan lebih menghormati saya sebagai pemimpin (ketua kerajaan)," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Najib menewaskan calon PKR Khairul Anuar Ahmad Zainudin dengan majoriti 26,464 undi dan merupakan majoriti terbesar dalam pilihan raya itu.

Najib memperoleh 36,262 undi manakala Khairul Anuar meraih 9,798 undi.

Najib mengambil alih tampuk pemerintah negara sebagai perdana menteri Malaysia keenam pada 3 April 2009 daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi. - BERNAMA

Artikel Lain