suria

Mahdzir Khalid Mohon Maaf Kepada Tun M

PADANG TERAP: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid memohon maaf secara terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataannya pada 2006 apabila menegur bekas Perdana Menteri itu supaya 'tutup mulut' daripada terus mengkritik kerajaan pada ketika itu.

"Saya mengambil kesempatan ini kalau ada perkara yang menyinggung perasaan Tun sewaktu saya menjadi Menteri Besar Kedah, saya secara terbuka hari ini memohon ampun dan maaf daripada Tun.

"Sebab selaku orang muda...Tun lebih berumur daripada saya, kadang-kadang panas lebih dan mungkin ada kesilapan yang berlaku. Saya sekali lagi mohon maaf," katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Rakyat yang turut dihadiri Dr Mahathir di sini, Khamis.

Permohonan maaf itu dipercayai merujuk kepada kenyataan keras Mahdzir pada 2006 yang menyarankan Dr Mahathir melepaskan semua jawatan sebagai penasihat di beberapa agensi kerajaan jika terus mengkritik kepimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Admad Badawi.

Malah Mahdzir turut mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan Dr Mahathir sebagai ahli Umno yang melampaui batas.

Sementara itu dalam reaksi balas, Dr Mahathir berkata beliau akan tetap menyokong siapa sahaja calon BN walaupun yang pernah mengkritiknya sebelum ini.

"Saya datang ke sini berkempen untuk BN. Seperti yang disebut oleh Mahdzir Khalid tadi, dia ada keluar kata-kata tertentu terhadap diri saya. Saya berjanji walaupun musuh saya, tetapi kalau orang ini dicalonkan oleh (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib untuk bertanding saya akan sokong.

"Sebab itulah saya datang sini hari ini. Saya harap semua orang di sini sokong BN," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Mengulas lanjut pada sidang media selepas itu, Dr Mahathir berkata beliau memaafkan tindakan calon BN bagi kerusi Parlimen Padang Terap itu.

"Terima kasih dia minta maaf. Tapi begitulah dalam politik...terlanjur bercakap dan kadang-kadang tidak fikir dahulu secara mendalam dan kita melatah.

"Tapi itu tak mengapa, saya dah biasa orang maki macam-macam. Saya tak hairan," katanya.

Artikel Lain