suria

Pecat Anggota Tanding Calon Bebas Wajar, Tepat Dengan Peraturan BN - Abdullah

KEPALA BATAS: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata tindakan Barisan Nasional (BN) memecat serta merta anggotanya yang 'belot' adalah wajar dan bertepatan dengan peraturan parti.

Beliau berkata tindakan tegas perlu supaya tiada anggota yang berani bertindak sedemikian pada masa hadapan.

"Keputusan itu memberi gambaran pucuk pimpinan parti benar-benar serius terhadap isu berkenaan dan saya mahu mereka bertindak tegas supaya tiada anggota yang berani bertindak sedemikian pada masa hadapan.

"Jika mereka (anggota BN yang bertanding bebas) masih berada dalam parti, saya bimbang ia merebak dan lebih ramai pula akan menjadi pembelot," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan parti memecat anggota secara automatik kerana bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Antara anggota BN yang dipecat kerana bertanding sebagai calon Bebas pada PRU 5 Mei ini ialah bekas naib ketua Wanita Umno Datuk Kamalia Ibrahim yang bertanding di Parlimen Kuala Kangsar.

Turut dipecat ialah bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Anggota Jawatankuasa Bahagian Tasek Gelugor Datuk Seri Mohd Shariff Omar yang bertanding di Parlimen Tasek Gelugor dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Sepang Datuk Suhaimi Mohd Ghazali yang bertanding kerusi Parlimen Sepang.

Datu Badruddin Tun Mustapha juga dipecat kerana bertanding di Parlimen Semporna dan DUN Senallang.

Abdullah, penyandang kerusi parlimen Kepala Batas, sebelum itu mengadakan perjumpaan dengan calon penggantinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Yang turut hadir pada pertemuan itu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga Mohd Zain Ahmad dan calon Bertam, Shariful Azhar Othman.

Sementara itu, Abdullah berkata beliau berpuas hati dengan penerimaan calon-calon itu oleh pengundi di kawasan Kepala Batas dan percaya kesemua calon BN itu akan menang besar.

"Saya juga turut membantu mereka untuk berkempen di Kepala Batas bagi memastikan BN menang dan mempertahankan kubu kuat kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain