suria

Anwar Tiada Semangat Setiakawan - Nazri

KUALA KANGSAR: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada semangat setiakawan apabila gagal menunaikan janji bertanding di luar kawasan sepertimana rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.

Beliau mendakwa Anwar sanggup menikam rakan-rakannya dari belakang dengan membiarkan mereka bertanding di luar kawasan masing-masing pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sedangkan beliau sendiri tidak berbuat demikian.

"Dia pekena Lim Kit Siang (penasihat DAP)...Kit Siang pergi Johor, dia (Anwar) janji akan datang ke Perak, Datuk Husam Musa (Naib Presiden PAS) pun terjun dari Kelantan ke Putrajaya...dia seorang tak terjun," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) khas untuk Perak di sini, Isnin.

Katanya tindakan Anwar terhadap rakan-rakannya itu boleh diibaratkan membiarkan "luncai terjun dengan labu-labunya".

Anwar yang juga penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh sebelum ini berkata beliau akan bertanding di Perak, namum kemudiannya membuat keputusan mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan.

Lim, penyandang kerusi Parlimen Ipoh Timor, Perak kini berpindah ke Parlimen Gelang Patah, Johor manakala Husam, penyandang kerusi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan berpindah ke kerusi Parlimen Putrajaya dan pada masa sama mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor, Kelantan. - BERNAMA

Artikel Lain