suria

Majlis Tidak Rasmi Medan Calon Parlimen BN-Kubang Kerian Bertemu Rakyat

KOTA BARU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kubang Kerian, Anuar Safian berkata, beliau menjadikan majlis atau program tidak rasmi sebagai medan untuk bertemu rakyat secara dekat.

Beliau berkata, antara fokusnya untuk mendekati masyarakat di kawasan Parlimen berkenaan adalah di majlis secara kecil-kecilan berbanding yang lebih rasmi.

“Kita lebih memfokuskan terhadap masyarakat di sekitar kawasan ini (Kubang Kerian) dalam majlis kecil-kecilan supaya dapat mendengar luahan mereka secara bersemuka dari menghadiri majlis majlis formal.

"Dengan cara seperti ini, kita boleh mendekatkan diri dengan mereka dan hubungan akan lebih akrab,” katanya kepada pemberita di Kubang Kerian, Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa bersama para peniaga dan orang ramai di sekitar pasar tani Pasir Tumboh dekat sini bagi mendengar rintihan dan luahan mereka mengenai masalah mereka.

Seramai lebih 100 peniaga di pasar tani Pasir Tumboh mengharapkan agar Kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan PAS dapat menyelesaikan masalah ruang niaga yang sempit di tapak baru kawasan berkenaan sehingga menyukarkan mereka untuk menjalankan perniagaan.

Anuar berkata, kawasan yang tidak strategik dengan keadaan berlecak apabila hujan menyukarkan peniaga melakukan urusan jual beli dengan pelanggan.

“Jika sebelum ini peniaga dapat menjalankan perniagaan dalam keadaan yang selesa, namun selepas berpindah ke tapak baru, keadaan ini berubah dan ramai yang merungut.

“Saya difahamkan, sudah dua tahun peniaga-peniaga di sini diberi notis untuk berpindah namun enggan berbuat demikian atas alasan kawasan yang sempit, namun mereka (kerajaan negeri) tetap ingin mengambil kawasan berkenaan untuk tujuan pembangunan,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri sepatutnya memberikan kata putus kepada para peniaga berkenaan memandang mereka hanya mencari rezeki dengan berniaga dan tidak mempunyai punca pendapatan lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain