suria

BN Mahu Guan Eng Beri Penjelasan Pelaburan Projek di China

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mahu Ketua Menteri Lim Guan Eng memberi penjelasan sebenar mengenai pelaburan sebanyak RM3.14 bilion di Wuhu, China ekoran PKR menafikan dakwaan parti itu mempunyai kaitan dengan projek berkenaan.

Ketua Publisiti BN negeri Tan Cheng Liang berkata pihaknya mendapatkan penjelasan daripada PKR yang memaklumkan bahawa urusan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Othman ke Wuhu pada 2011 ialah urusan rasmi kerajaan negeri.

"(Sedangkan) Sebelum ini Lim memberikan alasan tidak mengetahui perkara itu (pelaburan perniagaan). "Jadi, bagaimana ketua menteri boleh tidak tahu mengenai pelaburan ini dan kita mahu beliau bersama Mansor menjelaskan kepada semua rakyat berhubung projek ini," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Baru-baru ini, Pemuda BN mendedahkan kemungkinan penglibatan kerajaan negeri dalam projek Taman Elektronik Pulau Pinang di Wuhu yang langsung tidak diberitahu kepada media tempatan sedangkan media di China telah menyiarkan berita berhubung pelaburan itu. Lim perlu bertanggungjawab dalam isu itu kerana ia melibatkan kredibiliti kerajaan negeri, kata Tan.

Beliau berkata projek itu juga mendapat liputan media elektronik di Wuhu dan pihaknya mempunyai salinan dokumen yang berkaitan.

Tan juga berkata pihaknya memberi masa selama seminggu kepada Lim untuk memberikan penjelasan atau BN negeri akan mendedahkan maklumat yang mereka peroleh. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain