Najib Garis Empat Strategi Tingkat Kawalan Perairan Negara - Semasa | mStar

Najib Garis Empat Strategi Tingkat Kawalan Perairan Negara

LAHAD DATU: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu melancarkan pusat pemerintahan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM) dan menggariskan empat strategi penting yang perlu dilakukan dalam meningkatkan kawalan keselamatan terutama di kawasan perairan negara.

Perdana Menteri berkata peningkatan kemampuan risikan dan kawalan perairan yang efektif merupakan antara strategi penting yang perlu ditekankan untuk memastikan kedaulatan negara tidak lagi diceroboh.

Beliau berkata Malaysia juga perlu mempunyai strategi pengawasan perairan yang lebih efektif dengan kawalan 24 jam bagi memastikan jaminan kawalan dan pemantauan yang lebih menyeluruh.

"Selain itu, pasukan keselamatan juga perlu meningkatkan kemampuan masing-masing untuk bertindak 'memintas' sebarang aktiviti negatif yang cuba melanggar undang-undang di kawasan perairan negara," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran simbolik pusat pemerintahan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM) di sini Sabtu, perdana menteri berkata Malaysia juga perlu melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas termasuk memberkas mereka yang dipercayai penceroboh sebelum atau setelah mendarat.

Najib berkata tindakan strategik dan teknikal itu merupakan dua unsur penting yang boleh memberi keyakinan kepada rakyat dalam aspek keselamatan, terutama selepas insiden pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu pada Februari lepas.

"Keselamatan yang terjamin sepenuhnya dan keyakinan rakyat untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa ialah dua unsur yang sangat penting yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan pasukan keselamatan kita," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun langkah itu tidak memerlukan sebarang kajian semula kepada undang-undang berkaitan imigresen kerana peraturan sedia ada sudah cukup untuk melaksanakan strategi yang digariskan.

"Peraturan dan undang-undang sedia ada sudah cukup, cuma yang perlu ditingkatkan ialah pengkuatkuasaan dan iltizam untuk melaksanakan undang-undang dengan lebih berkesan," katanya.

Perdana menteri berkata keputusan mewujudkan ESSCOM merupakan yang paling cepat dibuat kerajaan iaitu hanya dalam tempoh 24 jam dan ia menjadi bukti kesungguhan kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa berada di tahap terbaik.

Najib berkata pelancaran ESSCOM pada Sabtu, iaitu selepas kira-kira sebulan penubuhannya diumumkan, menunjukkan kerajaan benar-benar bersungguh dalam melaksanakan perkara itu.

Penubuhan ESSCOM yang kini beroperasi secara sementara di Pangkalan Polis Marin di Lahad Datu, sebelum ibu pejabat ESSCOM dibina, diumumkan perdana menteri pada 7 Mac lepas ketika meninjau Operasi Daulat di Felda Sahabat, kira-kira 130 kilometer dari sini.

Dalam pada itu, Najib turut memaklumkan 36 daripada 48 jawatan penting dalam ESSCOM telah diisi dan selebihnya akan dipenuhi tidak lama lagi.

"Ini merupakan keputusan terpantas dalam sejarah Malaysia dari segi pewujudan jawatan dalam mana-mana agensi kerajaan," katanya.

ESSCOM merupakan ejen penguatkuasaan bagi Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE), yang merangkumi 10 daerah sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah, bertujuan menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri itu ekoran krisis pencerobohan itu.

ESSZONE meliputi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak Semporna dan Tawau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

NBOS Ubah Wajah Flat Tertinggi Di Ipoh

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

Artikel Lain