suria

Kerusi Putrajaya Sukar Dimenangi - Husam

Datuk Husam Musa
 Datuk Husam Musa
Datuk Husam Musa

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mengakui kerusi Parlimen Putrajaya yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sukar untuk dimenangi.

Namun, beliau yakin mampu membawa perubahan kepada pengundi di kawasan itu.

"Saya akur dengan keputusan parti. Kerusi itu (Parlimen Putrajaya) sukar untuk dimenangi kerana Ahli Parlimennya Tengku Adnan Tengku Mansor seorang tokoh yang sangat hebat.

"Dia adalah seorang strategis, sebab itu dia boleh jadi Setiausaha Agung. Kalau seorang Setiausaha Agung Umno boleh menguasai seluruh negara, tentulah cengkamannya terhadap Putrajaya lebih hebat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, Selasa.

Walaupun cabaran itu berat, Husam berkata beliau akan cuba sedaya upaya menjadikan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran yang akan diwarna-warnikan dengan warna yang sesuai dengan aspirasi rakyat Malaysia.

"Putrajaya akan menjadi pusat transformasi Malaysia...jadi saya memikul beban yang berat. Saya berharap Insya- Allah majoriti penduduk Putrajaya dapat menerima saya khususnya kakitangan awam yang menjadi pengundi teras di sini," katanya.

Husam yang juga Exco Kanan kerajaan PAS Kelantan berkata, kira-kira 1.4 juta pengundi di Malaysia terdiri daripada kakitangan awam.

"Langkah pertama yang saya boleh buat adalah bertemu dan melawat mereka (pengundi), mengetahui apa aspirasi, hasrat dan masalah serta isu yang mereka ingin saya perjuangkan," katanya.

Husam berkata, beliau pada awalnya dalam dilema sama ada untuk kekal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor atau mencuba nasib di kawasan baru (Putrajaya).

"Di bawah lembayung kehidupan ini saya rasa tak ada masalah mencuba suatu cabaran. Kalau tidak manakan dapat ikannya, kalau nelayan semua takut menghadapi gelombang," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain