suria

Manifesto BN: Sejuta Rumah Mampu Milik Dalam Tempoh Lima Tahun

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berjanji untuk membina sejuta rumah mampu milik termasuk 500,000 unit di bawah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang digerak oleh sektor awam dan swasta.

Perkara itu dinyatakan dalam Manifesto BN bertemakan 'Menepati Janji Membawa Harapan' yang dilancar Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam Sabtu, yang turut menjanjikan harga rumah PR1MA sekurang-kurangnya 20 peratus di bawah harga pasaran.

BN juga berjanji untuk memperkenal skim sewa dan milik bagi projek perumahan kerajaan, memulihkan semula projek perumahan terbengkalai untuk melindungi pembeli dan mengambil alih penyelenggaraan semua Projek Perumahan Awam.

Selain itu, BN akan membantu pemilik berpendapatan rendah dan miskin untuk memperbaiki rumah mereka serta memperbaiki perumahan estet dan menyediakan rumah untuk bekas pekerja melalui perkongsian Kerajaan-Estet.

Manifesto itu turut menyebut bahawa gabungan berkenaan akan menggantikan kawasan setinggan dengan kawasan perumahan tetap yang selesa.

Bagi pembelian rumah pertama pula, BN berjanji untuk memansuhkan yuran setem rumah pertama yang berharga di bawah RM400,000 jika diberi mandat sebagai kerajaan bagi tempoh lima tahun lagi.

Menurut manifesto itu, dasar kerajaan BN selama bertahun-tahun adalah memastikan bekalan semua jenis rumah untuk rakyat mencukupi, oleh itu, BN telah menyediakan kemudahan tabung RM1.2 bilion untuk PR1MA bagi pembinaan 80,000 rumah di lokasi permintaan tinggi pada tahun ini.

Setakat ini, kerajaan BN juga telah memulihkan 126 projek perumahan terbengkalai yang melibatkan 30,000 unit dan menyediakan RM307 juta pada 2012 dan 2013 untuk memulihkan projek perumahan terbengkalai. - BERNAMA

Artikel Lain