suria

Pilihan Raya Dijangka Hujung April

PETALING JAYA: Dewan Rakyat telah dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 dan tumpuan kini diberikan terhadap hari mengundi yang dijangka akan diadakan sebelum akhir bulan ini.

Walau bagaimanapun, kita perlu menunggu beberapa hari lagi untuk tarikh yang tepat kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan memutuskan tarikh minggu depan memandangkan tujuh negeri masih tidak membubarkan perundangan mereka, Rabu.

Walaupun petunjuknya tidak jelas, tarikh spekulasi hari membuang undi yang paling disebut-sebut ialah pada 27 April, iaitu hari Sabtu, hari di mana hampir semua pilihan raya di Malaysia pernah diadakan, dengan hari penamaan calon sekurang-kurangnya 11 hari lebih awal, dijangka pada 16 April.

Di bawah Perlembagaan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Rakyat.

Pada pilihan raya umum 2008, Dewan Rakyat telah dibubarkan pada 13 Februari tahun itu dan SPR memberi 10 hari untuk menyediakan senarai calon iaitu 24 Februari dan tarikh mengundi pada 8 Mac. Ini bermakna terdapat jurang 25 hari di antara hari pembubaran dan hari mengundi.

Hari mengundi dalam dua pilihan raya umum terdahulu telah diadakan pada hujung minggu. Jadi, jika 'trend' ini diteruskan, hujung minggu pertama selepas 25 hari pembubaran jatuh pada 27 April.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata suruhanjaya itu menunggu semua negeri memaklumkan mengenai pembubaran sebelum mengadakan mesyuarat awal minggu depan untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi.

"Kita berharap selewat-lewatnya pada Khamis (hari ini), kita akan menerima pemberitahuan mengenai pembubaran semua Dewan Undangan Negeri oleh speaker negeri masing-masing," katanya kepada The Star.

Setakat ini Melaka, Perlis, Perak, Terengganu, Pahang dan Sabah telah membubarkan Dewan Undangan Negeri mereka manakala Johor dan empat negeri Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang dijangka membuat pembubaran pada Khamis.

Dengan pembubaran Parlimen, kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat akan memulakan saingan mereka.

Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada pukul 9 pagi Khamis, diikuti oleh sesi mesyuarat dengan presiden parti komponen BN.

Pada Sabtu, Perdana Menteri akan mengumumkan manifesto BN pada Perhimpunan Janji 1Malaysia Rakyat Didahulukan di Stadium Putra di Bukit Jalil.

Majlis kepimpinan Pakatan akan mengadakan mesyuarat persediaan pilihan raya pada Khamis di ibu pejabat PKR di sini.

Artikel Berikut

Artikel Lain