suria

Pembangunan Modal Insan Holistik Bantu Lahir Tenaga Kerja Berpengetahuan - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pembangunan modal insan yang terancang dan holistik mampu melahirkan tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pembangunan modal insan yang seimbang juga akan membantu memastikan tenaga kerja negara kekal relevan dengan kehendak pasaran semasa dan membolehkan mereka bersaing di persada antarabangsa dalam gelanggang yang lebih luas.

Justeru, katanya, kerajaan telah menyediakan pelbagai program termasuk program Biasiswa Nasional, bagi memupuk, membangun dan mengekalkan modal insan negara.

"Pembangunan modal insan yang holistik akan membolehkan transformasi berlaku dalam konteks lebih luas, yang meliputi transformasi individu, keluarga, masyarakat dan negara.

"Cara ini juga akan membantu dan melahirkan rakyat Malaysia berpersonaliti unggul yang seimbang dari segi intelek, rohani, kemahiran, ketrampilan, bersemangat patriotik, berdisiplin dan mengamalkan nilai-nilai murni," katanya pada majlis penyampaian surat tawaran Biasiswa Nasional kepada 50 pelajar, di sini, iSNIN.

Mengenai program Biasiswa Nasional itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ia adalah satu program istimewa dan berprestij yang ditawarkan kerajaan untuk memberi peluang kepada pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka dunia berasaskan kepada merit akademik.

"Adalah diharapkan penganugerahan seperti ini akan mendorong dan menggalakkan institusi pendidikan, guru, ibu bapa dan pelajar untuk terus memainkan peranan masing-masing bagi menentukan pembangunan sahsiah pelajar yang holistik," katanya.

Di bawah program ini, pelajar akan ditaja dari peringkat persediaan hingga peringkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang pilihan mereka yang telah diiktiraf kerajaan di dalam dan luar negara.

Program ini telah diperkenalkan pada tahun 2010 dengan 30 pelajar cemerlang SPM 2009 menerima biasiswa tersebut. Mulai 2012 jumlah penerima ditambah menjadi 50 orang dengan mengambil kira peningkatan ketara pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 2011.

"Saya berharap dasar penajaan dan penganugerahan seperti ini akan meningkatkan modal insan masa depan yang berkemahiran tinggi dan bernilai tinggi serta berupaya menghadapi cabaran persekitaran yang sentiasa berubah," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata sehingga kini, sebanyak 244 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta terpilih dalam pelbagai industri seperti Petronas, Bank Negara, Maxis dan Khazanah Nasional telah menyertai inisiatif Scholarship Talent Attraction and Retention (Star) yang diperkenalkan kerajaan pada 2011 untuk memberi peluang kepada pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkhidmat di luar institusi kerajaan.

"Pelajar tajaan yang tidak ditawarkan untuk berkhidmat dengan kerajaan selepas menamatkan pengajian adalah layak untuk menyertai program ini yang akan diuruskan oleh TalentCorp," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain