suria

Mahfuz Bidas Mukhriz Isu Pelaburan Di Kedah

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dibidas ekoran kenyataan Barisan Nasional (BN) akan membawa masuk pelaburan berbilion ringgit jika parti itu diberi semula mandat memerintah Kedah.

Mahfuz berkata, Kedah sentiasa berada pada kedudukan yang baik dari segi nilai pelaburan sepanjang ditadbir PAS berbanding negeri-negeri lain yang telah lama diperintah BN.

“Sepanjang Kedah diperintah oleh PAS, tak pernah berada pada kedudukan di bawah berbanding negeri Terengganu, Perlis, Kelantan, Labuan.

"Saya nak tanya Datuk Mukhriz berapa bilion yang dibawa masuk (BN) ke Perlis sepanjang BN memerintah? BN perintah Perlis bukan baru... lama dah," katanya pada satu sidang media di ibu pejabat PAS, di sini, Isnin.

Mahfuz mendakwa, nilai pelaburan di Kedah pernah berada pada kedudukan kelima dalam kesemua 14 negeri di Malaysia pada 2011 dengan nilai sebanyak RM6.14 bilion dan tawaran 8,064 peluang pekerjaan.

"Pernah pada satu tahun (2011) kita berada di atas berbanding Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur dan Perlis," katanya.

Negeri-negeri tersebut merupakan negeri-negeri yang dikuasai kerajaan BN.

Mahfuz berkata pada 2008, Kedah mencatat nilai pelaburan sebanyak RM2.57 bilion dengan 3,217 tawaran pekerjaan.

Beliau bagaimana pun bersikap terbuka jika angka itu dikaitkan dengan kejayaan kerajaan BN yang sebelum itu memerintah Kedah.

"Tahun 2008 kalau nak kata (pelaburan) sebab BN (baharu) tinggal tak apalah saya terima. Tapi kedudukannya ialah ketujuh dari 14 negeri dan Kedah tetap tidak pernah potong Pulau Pinang dan Selangor," jelasnya.

Sambil meminta Mukhriz mengakui bahawa pelaburan di Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah Pakatan Rakyat adalah tinggi berbanding negeri-negeri yang diperintah BN, Mahfuz turut mempertikaikan pemikiran Mukhriz berhubung perkara ini.

Katanya, kenyataan seperti itu boleh dibuat oleh sesiapa sahaja, termasuklah orang kampung.

"Lebih baik pemikiran orang Lana Bulu dan Ceruk Ketiak dalam Parlimen Jerlun daripada pemikiran Datuk Mukhriz," katanya.

Lana Bulu dan Ceruk Ketiak adalah kampung pedalaman yang terletak dalam daerah Kubang Pasu, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam dan Parlimen Jerlun.

Mukhriz adalah ahli Parlimen Jerlun.

Artikel Lain