suria

PAS Persoalkan Status Kerajaan Gara-Gara Parlimen Belum Bubar

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pada Rabu mempersoalkan status kerajaan ketika ini yang didakwanya sebagai sebuah kerajaan ‘tamat tempoh’.

Mahfuz berkata mandat lima tahun yang diberikan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara telah tamat sejak 8 Mac lalu iaitu lima tahun selepas pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Katanya, walaupun undang-undang menyebut Parlimen akan terbubar secara sendirinya hanya pada 28 April ini tetapi dari segi hak rakyat, mandat lima tahun itu telah berakhir.

"Mandat yang diperoleh oleh mana-mana parti majoriti hanyalah untuk lima tahun. Sebab itu dalam sejarah tak pernah diadakan pilihan raya selepas tempoh mandat itu.

"Dari segi menghormati hak demokrasi rakyat bila habis mandat kena kembalikannya kepada rakyat untuk diperbaharui siapa yang harus mengurus tadbir negeri atau negara," katanya pada satu sidang media di ibu pejabat PAS dekat sini, Rabu. Beliau menambah, kerajaan sekarang juga tidak boleh dianggap sebagai kerajaan sementara kerana ia hanya berlaku selepas Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Dalam pada itu,beliau turut menyatakan kebimbangan mengenai sebarang keputusan yang dibuat kerajaan melibatkan kewangan negara sepanjang tempoh pentadbiran yang didakwa telah tamat.

"Adalah tidak wajar untuk kerajaan meluluskan atau menganugerahkan projek atau membuat keputusan yang mempunyai implikasi kewangan kepada negara. Kerajaan sementara pun hanya menjalankan urus tadbir harian.

"Sedangkan belum tentu lagi kerajaan BN akan kekal sebagai sebuah kerajaan selepas pilihan raya seterusnya," katanya.

Katanya keputusan melibatkan kewangan yang dibuat selepas tamat tempoh mandat akan menimbulkan kesan dan krisis kepercayaan pelabur asing serta masyarakat antarabangsa kerana ia melibatkan moral politik kerajaan.

Artikel Lain