suria

Esscom Bakal Rangsang Pertumbuhan Sosio-Ekonomi Di Pantai Timur Sabah

LAHAD DATU: Pembentukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah yang dikenali sebagai Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) harus dilihat bukan semata-mata untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri itu terjamin, malah ia boleh memberi nafas baharu dari segi sosioekonomi penduduk di lima daerah.

ESSCOM, yang merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas, boleh turut merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat seiring dengan Koridor Pembangunan Sabah yang dilancarkan pada 2008.

Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi berkata beliau menjangkakan pembentukan ESSCOM memberi impak amat besar dari segi ekonomi kerana ia boleh merancakkan sektor pelancongan, pendidikan dan sosiobudaya.

Sekurang-kurangnya ia boleh mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan untuk pelbagai sektor itu, katanya.

"Apabila ESSCOM dilaksanakan, pertamanya sektor hartanah akan melonjak pada paras agak tinggi sehingga mungkin RM500,000 untuk sebuah rumah teres dua tingkat yang pada masa ini bernilai RM250,000 hingga RM350,000 sebuah.

"Keduanya, kilang-kilang akan diwujudkan lagi bagi menampung permintaan minyak sawit selain daripada Felda, dan ini sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Najib mengumumkan pembentukan ESSCOM ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras kumpulan pengganas dari selatan Filipina di Felda Sahabat 16, berdekatan Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari bandar Lahad Datu.

Lahad Datu, yang dijadikan pusat pemerintahan ESSCOM terletak di tengah-tengah dua daerah utama pantai timur Sabah iaitu Tawau dan Sandakan, yang mempunyai kira-kira 195,000 penduduk dengan 25,162 daripadanya pengundi berdaftar.

Kawasan parlimen Silam keseluruhannya memiliki 308,000 penduduk dan 52,054 daripadanya ialah pengundi.

Salleh berkata kawasan parlimen Silam yang mempunyai tiga dewan undangan negeri iaitu Lahad Datu, Kunak dan Tungku dan berlatarbelakangkan kegiatan ekonomi berasaskan perladangan kelapa dan kelapa sawit boleh berubah wajah jika pembukaan kawasan petempatan baharu lebih tersusun, dilaksanakan di bawah ESSCOM.

"Akses perhubungan jalan raya akan menjadi lebih baik dari sekarang, malah di Silabukan, sebuah lapangan terbang baharu akan dibina. Apabila ada lapangan terbang baharu, sudah tentu kawasan di sekitarnya akan mengalami perubahan," katanya. Beliau yakin perubahan berkenaan akan menarik minat pelabur asing melabur di Lahad Datu, menjadikannya bandar kedua selepas Kota Kinabalu pada aspek pembangunan dan hab ekonomi di Sabah. Katanya kewujudan ESSCOM sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah akan menjamin aktiviti perikanan yang lebih selamat dan ini akan meningkatkan kegiatan ternakan udang harimau, udang kertas, ketam bakau dan rumpai laut.

Berkeluasan kira-kira 6,635 kilometer persegi, Lahad Datu pada masa ini mempunyai sebuah lapangan terbang yang terletak di tengah-tengah bandar dan menerima kira-kira purata 20,000 pelancong sebulan.

Salleh berkata Lembah Danum dan Taman Hidupan Liar Tabin ialah antara tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati keindahan alam semula jadi.

Pada masa ini aliran pergi-balik penerbangan ke Lahad Datu yang memakan masa kira-kira sejam dari Kota Kinabalu ialah lima kali sehari.

"Selepas adanya ESSCOM ini, saya yakin jumlah kehadiran pelancong ke sini akan bertambah kerana mereka akan berasa lebih selamat," katanya.

Anggota parlimen Silam itu turut setuju agar mana-mana kampung air di kawasan berkenaan yang tidak diwartakan sebagai kampung warisan dirobohkan meskipun ia memberi impak kepada sektor pelancongan. "Sebelum ini, kampung air ialah daya tarikan kepada pelancong, namun ia berkemungkinan terdedah dengan ancaman kumpulan penceroboh luar. Maka yang tidak digazetkan patut diroboh untuk kebaikan semua. Bagi kampung air yang digazetkan, biarlah ia kekal sebagai kampung warisan dan diuruskan dengan lebih sistematik dan tersusun agar bebas daripada ancaman bahaya," katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan negeri membina sebuah petempatan baharu yang lebih selesa dan kondusif selain tidak jauh dari laut memandangkan hampir kesemua penduduk di kampung itu bekerja sebagai nelayan.

Lahad Datu, yang terletak di tepi laut dan bakal menempatkan kem dan aset tentera dan polis, akan dicadangkan supaya dinaik taraf menjadi bandar raya dan dinamakan sebagai 'Bandar Raya Maritim', jika ia memenuhi syarat kelak, serta mempunyai sebuah universiti awam, katanya.

Langkah menubuhkan ESSCOM, kata Salleh, memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan akan melakukan apa sahaja bagi menjamin keamanan dan kedaulatan negeri di Bawah Bayu ini.

Pada Isnin, Perdana Menteri mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) meliputi 10 daerah - Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau - sebagai memberi asas perundangan kepada ESSCOM.

ESSZONE akan ditadbir oleh Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur yang ditubuhkan menurut Peraturan-peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 dan dipengerusikan ketua menteri Sabah dan dibantu seorang ketua pegawai eksekutif. -BERNAMA

Artikel Lain