suria

Pengagihan Kerusi Parti Komponen BN Dimuktamadkan

PETALING JAYA: Pengagihan kerusi bagi parti komponen Barisan Nasional telah dimuktamadkan, menurut laporan dalam talian Media Umno.

Laporan itu, yang memetik Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai berkata, memberitahu bahawa kata sepakat telah dicapai.

“Dalam BN ada 13 kompenan parti yang tentunya melibatkan 13 orang Presiden yang terdiri daripada pelbagai bangsa, pelbagai agama, etnik berbeza dan budaya berlainan tetapi atas semangat kebersamaan dengan kesatuan dalam kepelbagaian maka agihan kerusi untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berlangsung lancar,” katanya.

“Bayangkan, dalam pakatan pembangkang hanya ada tiga sahaja parti iaitu PKR, Pas dan DAP tetapi mereka berdepan dengan banyak kemelut walaupun menafikan kononnya tidak berdepan dengan masalah tetapi insiden di Sabah, Johor, Kedah dan beberapa negeri lagi sudah mendedahkan apa yang berlaku.

“Dalam BN semuanya diselesaikan melalui rundingan dengan mengutamakan semua parti tanpa melihat kepada keanggotaannya biarpun ia adalah parti yang terkecil tetapi atas semangat konsensus, penglibatan semua pihak diambil kira,” katanya kepada portal Umno, Rabu.

Menurut laporan portal, Tengku Adnan berkata, Pakatan Rakyat cuba untuk meniru BN membentuk pakatan tetapi berkata ia tidak dapat mencapai keputusan yang sama kerana ketiga-tiga pihak yang mempunyai ideologi yang berbeza.

“Dalam soal pembahagian kerusi, BN sentiasa mengambi kira kepentingan keseluruhan rakyat demi kesinambungan masa hadapan dan kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang berkaitan hal ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana matlamat antara mereka adalah pangkat, kedudukan dan kuasa.

Artikel Lain