suria

Keperluan Penubuhan Esscom Akan Dilulus Segera - Ali Hamsa

LAHAD DATU: Segala keperluan termasuk peruntukan berhubung penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah akan diluluskan segera, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata satu mesyuarat berhubung penubuhan kawasan yang bakal dinamakan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) itu akan diadakan di Kota Kinabalu malam ini. "Sekarang kita di peringkat meneliti dan mendapatkan maklum balas daripada pelbagai agensi. Mana-mana agensi yang terlibat akan mengambil tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas melawat markas operasi pasukan keselamatan di Felda Sahabat 16, dekat sini pada Jumaat.

Pada 7 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan ESSCOM untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa dijaga yang melibatkan lima daerah di Pantai Timur Sabah iaitu Sandakan, Tawau, Kunak, Kudat dan Lahad Datu.

Mengenai lawatan hari ini, Ali berkata lawatan yang turut disertai pegawai kanan pelbagai kementerian termasuk Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Kewangan itu bertujuan untuk mengetahui status sebenar kawasan itu dan keadaan di pusat pemindahan sementara. -BERNAMA

Artikel Lain