suria

Wanita Umno Ambil Anak Wira Terkorban di Lahad Datu & Semporna Sebagai Anak Angkat

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno akan mengambil anak-anak anggota keselamatan yang terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh militan Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah sebagai anak angkat.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata usaha itu akan dilaksana sebaik sahaja insiden di daerah berkenaan selesai. "Kami akan ambil anak-anak mereka terutama yang masih perlu melanjutkan pelajaran untuk dijadikan anak angkat untuk dibantu apa yang sepatutnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 'Gagasan Aspirasi Usahawan Online' anjuran Small Office, Home Office Wanita (Sohonita) di sini, Sabtu.

Shahrizat berkata pergerakan itu juga akan membantu balu-balu wira negara ini daripada apa juga segi bagi memastikan mereka terus tabah meneruskan hidup setelah kehilangan tempat bergantung.

Beliau berkata rata-rata wanita Umno bahagian di seluruh negara mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan anggota keselamatan di Lahad Datu dan memohon agar konflik di sana dapat diselesaikan segera. Kejadian pencerobohan kumpulan bersenjata pada 12 Februari lepas di persisir pantai Lahad Datu, Sabah sehingga kini mengorbankan lapan anggota polis.

Dua daripada mereka terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh militan itu di Kampung Tanduo, Lahad Datu 1 Mac lepas manakala enam lagi terkorban dalam kejadian serangan hendap di Kampung Simunul, Semporna pada 2 Mac. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain