suria

Heroin 9kg Dirampas, Dua Suspek Ditahan

SHAH ALAM: Polis Selangor merampas 9.16 kilogram dadah dipercayai heroin dengan anggaran nilai pasaran RM3 juta dan menahan dua suspek di sebuah kawasan di Taman Jati, Rawang pada Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata, suspek berumur 24 dan 29 tahun itu ditahan kira-kira 1.30 tengah hari ketika dipercayai baru hendak mengedar dadah di sekitar kawasan itu.

"Polis menjumpai satu beg berisi 20 bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai heroin dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suspek berumur 29 tahun.

"Kami percaya 300,000 tiub straw boleh dihasilkan dengan dadah heroin itu dan boleh dijual kepada penagih dengan harga kira-kira RM3 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Isnin.

Nordin berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek yang tiada pekerjaan itu dipercayai aktif mengedar dadah di Lembah Klang sejak setahun lepas.

Menurutnya, suspek berumur 24 tahun itu mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau.

Beliau turut berkata, Bahagian Pelucutan Harta di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut menyita kira-kira RM104,000 dalam akaun bank milik suspek berumur 29 tahun dan sekutunya, dan polis percaya duit itu diperoleh menerusi aktiviti pengedaran dadah.

Nordin berkata, kedua-dua lelaki itu direman mulai 1 hingga 7 Mac untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain