suria

Nik Aziz Samakan Penerima BR1M Seperti Haiwan Satu Penghinaan - Syed Ali

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) umpama haiwan sebagai satu penghinaan kepada manusia.

"Ini merupakan satu penghinaan paling buruk. Sebagai seorang ulama, apabila melibatkan soal kepentingan umat Islam, beliau tidak harus celupar dan melemparkan tuduhan sedemikian.

"Manusia ciptaan Allah S.W.T merupakan makhluk yang dimuliakan di atas muka bumi ini," katanya.

Niz Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan pada Khamis telah menyamakan usaha Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan kepada mereka yang layak menerusi BR1M, seperti ‘memberikan hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu’.

Menurut Nik Aziz lagi, pemberian wang ringgit itu sangat mendapat sambutan kerana ia diibaratkan sama seperti ayam dan lembu yang akan datang, sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan yang digemari.

Beliau menambah, pemberian wang ringgit adalah salah di sisi Islam kerana ajaran Islam yang sebenar adalah memberikan ilmu kepada manusia.

Sehubungan itu, Syed Ali memberi amaran kepada Nik Aziz supaya berhenti mengeluarkan kenyataan menghina seperti itu pada masa akan datang.

Katanya, tindakan tersebut bukan saja menunjukkan beliau (Nik Aziz) sebagai seorang yang tidak tahu bersyukur malah mendorong kepada perpecahan umat.

Sementara itu, Syed Ali mengingatkan rakyat supaya tidak menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai satu eksperimen untuk membenarkan Putrajaya ditawan Pakatan Pembangkang yang pastinya bakal didominasi oleh DAP.

"DAP merupakan parti rasis yang diketahui umum dan tidak senang hati terhadap pembangunan umat Islam dan orang Melayu di negara ini," katanya.

Artikel Lain