suria

DAP Pertikai Komitmen BN Perangi Rasuah

KUALA LUMPUR: DAP mendakwa Ikrar Integriti Pilihan Raya yang ditandatangani oleh Barisan Nasional (BN) merupakan satu komitmen kerajaan yang tidak serius untuk membanteras gejala rasuah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, ini kerana ikrar itu hanyalah kontrak secara sosial tanpa mempunyai ikatan dari segi perundangan.

“Ia (ikrar integriti) hanya suatu gimik politik bagi mengalihkan perhatian rakyat mengenai rekod sebenar kegagalan BN dalam membanteras rasuah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen DAP secara dalam talian bagi mengumpulkan dana untuk PRU-13 di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu lalu yang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya yang memperlihatkan komitmen kerajaan dalam pembangunan nasional terutama membanteras gejala rasuah menjelang PRU-13.

Ikrar berkenaan merupakan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Integriti Antarabangsa Malaysia (TI) . Majlis tersebut telah disaksikan oleh Presiden TI, Datuk Paul Low.

Dalam pada itu Tan yang juga Ahli Parlimen Cheras turut mendakwa ikrar tersebut sebagai satu ‘penipuan’ yang cuba dilakukan oleh BN terhadap rakyat.

Beliau turut menambah, kerajaan juga perlu memperkenalkan undang-undang untuk mewajibkan semua pemimpin termasuk daripada pihak pembangkang mengisytiharkan aset masing-masing.

“Daripada yang paling atas, dengan kedudukan sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri, ahli Parlimen, Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mesti mengisytiharkan aset dan kekayaan mereka.

“Bukan sahaja mereka tetapi juga pasangan dan ahli keluarga terdekat. Dan semua maklumat ini perlu diisytiharkan,” katanya.

Artikel Lain