suria

PKR Dakwa Pemilih Didaftar Tanpa Pengetahuan

PETALING JAYA: Pembangkang mendakwa wujud penipuan dalam proses pendaftaran pemilih baru membabitkan penolong pendaftar yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh mendakwa peningkatan mendadak jumlah pengundi baru selepas pilihan raya umum 2008 adalah disebabkan wujudnya aktiviti pendaftaran pemilih baru tanpa pengetahuan individu terbabit.

Menurut Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan, sehingga kini pihaknya menerima hampir 100 aduan dari seluruh negara berhubung isu berkenaan.

"Aduan yang pihak PKR terima setakat ini cukup bukti untuk mengheret penolong-penolong pendaftar dan juga SPR ke mahkamah sekiranya didapati sah SPR bersekongkol dengan penolong pendaftar tersebut.

"Kami dapati pemilih-pemilih telah didaftarkan tanpa pengetahuan mereka yang membawa maksud, penolong pendaftar telah membawa kenyataan permohonan pendaftaran pemilih palsu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Menurut Fuziah, aduan membabitkan pemilih yang didaftarkan tanpa pengetahuan mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar diluar negara, pemilih cukup umur serta orang dewasa yang tidak pernah mendaftar sebelum ini.

Jelas Fuziah lagi, mana-mana pihak yang didapati bersalah terlibat dalam proses penipuan berkenaan boleh didakwa kerana melakukan jenayah di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Kesalahan Pilihanraya.

Mereka yang disabitkan bersalah boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Akhbar The Star sebelum ini melaporkan bahawa tujuh negeri mencatatkan bilangan tertinggi peningkatan pengundi baru selepas pilihan raya umum 2008.

Jumlah pengundi di Selangor, Johor, Perak, Sabah, Sarawak, Kelantan dan Kedah masing-masing meningkat sekurang-kurangnya seramai 150,000 pengundi.

Daripada tujuh negeri berkenaan, Selangor mencatatkan peningkatan terbesar bilangan pengundi baru iaitu sebanyak 29.06 peratus iaitu daripada 1,565,494 pada tahun 2008 kepada 2,020,500 pada suku ketiga tahun lalu.

Mereka adalah sebahagian daripada lebih 2.4 juta pengundi baru di seluruh negara yang berdaftar sejak pilihan raya umum lalu.

Artikel Lain