suria

Elak Orang Tengah Untuk Ambil Pekerja Asing - MTUC

SUBANG JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Selasa mencadangkan pengambilan pekerja asing ke Malaysia perlu dilakukan menerusi pendekatan ‘kerajaan dengan kerajaan’ bagi mengelakkan peranan orang tengah.

Presidennya, Mohd Khalid Atan berkata, pendekatan itu dapat mengelakkan pekerja asing daripada menjadi mangsa eksploitasi selain bagi memastikan mereka mendapat layanan baik ketika bekerja di negara ini.

"Kami tidak mahu ejen dan syarikat pembekal tenaga kerja asing terlibat dalam proses pengambilan pekerja asing di negara ini. Sebaliknya, ia perlu dilakukan antara rundingan kerajaan dengan kerajaan," katanya pada sidang media di Wisma MTUC di sini, Selasa.

Menurut Mohd Khalid, orang tengah hanya ingin mengaut keuntungan daripada proses pengambilan pekerja asing ke negara ini yang dilakukan mereka.

"Saya difahamkan mereka (orang tengah) mampu memperoleh keuntungan sebanyak RM2,000 untuk setiap seorang pekerja asing yang berjaya dibawa masuk ke negara ini," katanya.

Jelas beliau, tindakan tersebut telah menjejaskan imej negara yang sentiasa menjadi destinasi pilihan pekerja asing dari seluruh dunia.

Sementara itu, merujuk kepada kes 33 pekerja warga Nepal yang diberhentikan pekerjaan selepas penutupan sebuah syarikat elektronik pada Disember lalu, beliau berkata kesemua pekerja itu pada mulanya dimaklumkan syarikat berkenaan hanya akan ditutup dalam tempoh seminggu.

Namun, tidak lama kemudian mereka dimaklumkan oleh agensi yang mengambil mereka bekerja bahawa kontrak ditamatkan berkuat kuasa pada 27 Disember tahun lalu.

"Sejak itu, mereka tidak dibayar gaji dan syarikat tersebut hanya membayar RM50 hingga RM100 setiap seorang untuk membeli makanan.

"Pada 1 Februari lalu pekerja Napal berkenaan telah membuat laporan polis selain meminta bantuan daripada MTUC untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, MTUC telah memfailkan kes tersebut dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia pada Selasa.

Mohd Khalid turut menggesa kerajaan agar mewujudkan sebuah akta pekerja asing yang telus dan komprehensif serta melakukan penguatkuasaan yang efektif bagi melindungi golongan tersebut.

Artikel Lain