suria

Tawaran Tambang Perjalanan MAS Masih Terbuka

KUALA LUMPUR: Tambang nilai bagi wang Malaysia Airlines ke destinasi-destinasi domestik dan antarabangsa masih ditawarkan hingga 11 Februari bagi perjalanan dari sekarang hingga 30 November 2013.

Tawaran diskaun hingga 35 peratus bagi laluan antarabangsa dan 40 peratus bagi laluan domestik, serta tambang khas oneworld ke destinasi-destinasi di luar rangkaian Malaysia Airlines amat laris, kata syarikat penerbangan nasional itu.

"Yang menggalakkan, kebanyakan pelanggan membeli tempat duduk bagi perjalanan dalam jangka terdekat iaitu dalam bulan Februari dan Mac, dan berdasarkan trend berikutnya selepas beberapa hari, pengguna juga mula merancang dan menempah bagi perjalanan dalam bulan-bulan terkemudian dalam tahun ini.

"Sekurang-kurangnya 65 peratus pengguna telah menempah perjalanan mereka secara dalam talian melalui www.malaysiaairlines.com manakala 27 peratus lagi memanfaatkan tawaran itu melalui sistem pengedaran global lain," katanya dalam satu kenyataan.

Ia berkata London terus merupakan destinasi kegemaran dengan tambang pergi balik kelas ekonomi termasuk semua, bermula dari RM3409.

Destinasi kegemaran lain ialah Beijing, Shanghai Guangzhou dan Taipei manakala Perth dan Melbourne terus menjadi destinasi keutamaan di Australia.

Mulai 1 Mac, perjalanan kelas ekonomi dengan pesawat A380 ke Paris boleh dilakukan dengan tambang pergi balik dari RM2899, kata syarikat penerbangan itu. BERNAMA

Artikel Lain