suria

Polis P. Pinang Yakin Dapat Kenal Pasti Suspek Kes Tembak

BUTTERWORTH: Polis percaya akan dapat mengenal pasti suspek dalam kes tembak pemilik sebuah pusat hiburan di Bukit Tengah dekat sini Ahad lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis telah merekodkan keterangan mangsa yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

"Polis akan menjalankan siasatan berdasarkan keterangan yang diterima dan menurut mangsa dia melihat lelaki yang menembaknya itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rumah Selamat sempena Tahun Baru Cina, di Taman Riang di sini malam Rabu.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, Tan Seng Suo, 43, yang memandu seorang diri ditembak semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat di Bukit Tengah, ketika dalam perjalanan pulang dari premis hiburannya di Perai.

Mangsa yang cedera parah akibat tembakan pada bahu dan dada berupaya memandu ke Hospital Seberang Jaya sejauh empat kilometer dari tempat kejadian. Mengulas kes berbeza, Abdul Rahim berkata polis mendapat petunjuk baharu berhubung sindiket pemerdagangan bayi dan kanak-kanak yang berjaya dibongkar baru-baru ini. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkembangan baharu itu.

"Apa yang saya boleh maklumkan akan ada perkembangan positif berhubung sindiket terbabit, saya harap pihak media bersabar.

"Kita juga sedang tunggu arahan daripada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Baru-baru ini, polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang aktif di utara tanah air dengan penahanan 33 individu berumur antara 23 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi hasil risikan dan maklumat awam sejak awal Disember 2012. Siasatan awal polis mendapati bayi dan kanak-kanak itu dijual pada harga antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim meminta orang ramai yang mahu meninggalkan rumah sempena cuti Tahun Baru Cina ini memaklumkan kepada pihak polis bagi memudahkan pihaknya meningkatkan rondaan di kawasan perumahan mereka.

"Tahun lepas kita mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai yang memaklumkan kepada polis ketika mereka pulang bercuti dan saya harap tahun ini mereka buat perkara yang sama supaya anggota polis boleh tingkatkan rondaan.

"Kita mahu sepanjang cuti ini rumah yang ditinggalkan dalam keadaan selamat dan tidak berlaku jenayah. Seramai hampir 4,000 anggota kita akan terlibat dalam rondaan bagi mencegah jenayah," katanya.

Selain itu, katanya 10 kawasan yang telibat dalam Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Pulau Pinang mencatatkan penurunan kadar jenayah yang drastik sejak dilancarkan pada 23 Disember lepas.

Beliau berkata kontijen Pulau Pinang akan menerima 60 buah lagi motosikal bagi URB pada Mac ini dan pihaknya merancang memperluaskan kawasaan rondaan. -BERNAMA

Artikel Lain