suria

KPDNKK Tahan 7 Lelaki, Rampas Toner Pencetak Tiruan Bernilai RM320,000

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 3,000 unit toner pencetak tiruan pelbagai jenama bernilai RM320,000 dan menahan tujuh pekerja lelaki tempatan dalam satu operasi di enam premis sekitar ibu negara pada 30 Januari lepas.

Kenyataan Unit Komunikasi Korporat KPDNKK hari ini menyebut premis terbabit dipercayai dijadikan pusat simpanan dan pengedaran toner tiruan serta beroperasi lebih enam bulan.

"Serbuan tersebut dilakukan berikutan aduan yang dibuat oleh wakil cap dagang bagi produk toner pencetak dan jenama yang dirampas, termasuk Hewlett-Packard, Canon, Samsung dan Epson," katanya.

Dalam serbuan pada 6.30 petang itu, pihak berkuasa menahan dan merekod keterangan tujuh pekerja tersebut untuk siasatan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana disyaki membekal atau menawar untuk membekalkan apa-apa barangan yang melibatkan dagangan palsu.

Bagi kesalahan pertama, individu berdepan hukuman maksimum denda RM10,000 bagi setiap barangan, atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertubuhan perbadanan, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan yang berkaitan dagangan palsu. BERNAMA

Artikel Lain