suria

Padah Kalau Artis Harapkan PA, Pengurus Buat Kerja

Aaron Aziz (kiri) lebih percayakan isterinya Diyana Halik untuk menjadi pengurusnya sendiri.
Aaron Aziz (kiri) lebih percayakan isterinya Diyana Halik untuk menjadi pengurusnya sendiri.
Aaron Aziz (kiri) lebih percayakan isterinya Diyana Halik untuk menjadi pengurusnya sendiri.

ADOIII…

BOLEH saya katakan kebanyakan artis tidak kiralah artis yang sekadar “suam-suam kuku” (kurang popular) ataupun yang sudah bertaraf diva, kebanyakannya ada pengurus ataupun pembantu peribadi (PA).

Artis yang tak laku pun sama. Album tak ada, lagu pun tak ada, tiba-tiba siap “pasang” dua orang pengurus.

Saya pernah menempuh satu pengalaman apabila seorang pengacara ini menghubungi saya untuk mengajak makan malam.

Semasa berjumpa dengannya, saya terkejut kerana dia datang ditemani empat orang pemuda.

“Kenalkan... ini manager aku. Yang ini PA aku. Yang ini pula driver aku.”

Saya pun kata, banyak benar “orang-orang” kau. Album pun tak ada, mampu ke nak bayar gaji?

Lalu artis itu pun kata... “Aku ni banyak show. Saja aku tak bagi tahu wartawan sebab malaslah kalau publisiti murah.”

Saya ketawa saja. Saya tahu jawapan itu hanyalah gurauannya walaupun muka dia sedikit “kelat”.

Tetapi apa yang hendak saya jelaskan ia adalah satu kebenaran dalam dunia hiburan sekarang ini apabila semakin bertambah artis, semakin ramai jugalah PA dan pengurus artis.

Kadang-kadang di majlis-majlis hiburan ataupun apa juga festival, pengurus dan PA lebih ramai berbanding artis. Ia belum termasuk jurusolek dan juga penaja pakaian yang ada sama.

Masalahnya sekarang peranan PA dan pengurus artis ini tidak diperincikan dengan betul kerana ada sesetengah mereka tidak faham fungsi dan tugas yang harus dipikul.

Bijak merancang

Pengurus artis perlulah bijak merancang jadual seni artis yang diuruskannya termasuklah dari segi mendapatkan persembahan pentas ataupun tawaran berlakon, perjanjian untuk penerbitan iklan, publisiti di media selain perlu mempunyai skil komunikasi kelas A.

Jika semua aspek itu ada, adalah wajar seseorang artis tersebut membayar si pengurus tadi dengan upah yang tinggi.

Tapi sayang sekali ada PA dan pengurus artis yang lebih sudu dari kuah. Malah mereka pula yang mahu kelihatan seperti artis.

Dalam masa yang sama artis juga harus ada pengetahuan bagaimana mereka perlu menguruskan diri sendiri dan jangan terlalu bergantung hidup dengan pengurus ataupun PA masing-masing.

Mereka hendaklah belajar merancang kewangan, jadual persembahan, temu janji selain perlu rajin membaca agar pemikiran lebih terbuka serta nampak kelihatan cerdik.

Simpati

Saya simpati dengan nasib Alyah apabila orang kepercayaannya dikatakan telah melarikan wang simpanannya sebanyak RM40 ribu.

Selama ini Alyah terlalu percayakan orang kanannya termasuklah dari segi kewangan serta pengurusan jadual.

Akhirnya apabila situasi itu berlaku, Alyah menjadi “terkontang-kanting”.

Sebenarnya bukan Alyah sahaja yang berhadapan dengan pengalaman itu. Ramai artis lain juga pernah menghadapi masalah dengan kerenah orang kanan mereka. Situasi ini terjadi apabila kemahiran menguruskan diri sendiri itu tidak ada pada artis berkenan. Ia satu kesilapan yang cukup besar.

Tugas sebagai artis bukan sekadar menghiburkan orang tetapi mereka hendaklah serba-serbinya bijak.

Jika mereka mahir pelbagai sudut, mereka akan menjadi artis yang hebat. Semua itu hanya akan diperoleh dengan ilmu.

Sayang sekali segelintir artis kita hanya ingin nampak glamor, gah, cantik dan ternama. Tetapi... habuk pun tarak...

NIEZAM: “Abang... boleh jadi pengurus saya tak?” kata seorang artis. Maaf dik, belajarlah untuk urus diri sendiri...

Artikel Lain