suria

MB Selangor Tolak Dakwaan Berlaku Ketidakadilan Kenaikan Gaji Staf Kuis

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Rabu menolak dakwaan wujudnya ketidakadilan dalam kenaikan gaji di kalangan staf Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis).

Abdul Khalid yang juga Pengerusi Kuis berkata sebarang kenaikan pangkat yang dibuat adalah berdasarkan tatacara perkhidmatan.

“Bagi saya mereka yang layak diberi kenaikan gaji akan diberi terus kenaikan gaji tersebut dan saya tidak nampak mengenai penahanan kenaikan gaji walaupun dia bekerja secara kontrak.

“Biasanya isu ini tidak timbul, saya juga tidak menerima apa-apa memorandum daripada pegawai-pegawai Kuis yang terlibat dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Sebuah akhbar tempatan pada Rabu melaporkan, pihak pengurusan Kuis membekukan kenaikan gaji tahunan kakitangannya sejak 2011.

Selain kenaikan gaji tahunan, pihak pengurusan juga didakwa gagal melaksanakan pelarasan gaji pada kadar 13 peratus membabitkan lebih 400 kakitangannya yang sepatutnya dikuatkuasakan pada tahun lalu.

Menurut sumber, tindakan tersebut dikatakan telah menyebabkan sebilangan besar kakitangan kolej tersebut tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan yang dikatakan sering menjadikan kedudukan kewangan defisit sebagai alasan kenaikan gaji tahunan mereka tidak dapat dilakukan.

Artikel Lain