suria

Empat Penagih Ditahan Beserta Selaras Senapang Angin

MUAR: Empat penagih dadah ditahan dan selaras senapang angin berkaliber .22 beserta 12 pelet peluru dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Lorong Yusof, Batu 23, Lenga di sini Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supt Shahadan Jaafar berkata senjata tersebut dijumpai di sebuah bilik di rumah salah seorang suspek dalam serbuan tengah malam itu.

"Polis percaya senjata tersebut dibawa masuk daripada negara jiran," katanya dan menambah kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata pihaknya turut merampas 0.41 gram Syabu, 36.1 gram ganja mampat dan enam biji pil Eramin 5.

Shahadan berkata kesemua mereka yang disahkan positif heroin akan didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama iaitu dipenjara antara dua sehingga lima tahun dan sebatan maksimum sembilan kali.

Sementara itu dalam satu kes lain, polis menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 21 dan 28 tahun dan menemui semula sejumlah barang-barang curi bernilai RM1,200 di sebuah rumah kongsi di Jalan Bakariah di sini petang semalam.

Beliau berkata antara barang yang curi yang ditemui ialah dua set GPS, sebuah kamera, sepasang kasut sukan mewah dan sekeping kad pengenalan milik orang lain.

Shahadan berkata barangan tersebut dipercayai dicuri dari sebuah kereta Toyota Vios di Lorong Bunga, Jalan Bakariah pada awal pagi hari yang sama. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain