suria

Mayat Pemuda Hanyut Ketika Seberangi Sungai Ditemui

DUNGUN: Seorang lelaki yang dihanyut arus deras ketika menyeberangi sungai bersama abangnya di Kampung Kuala Jengal, di sini kelmarin, ditemui lemas Isnin.

Mayat Che Ku Amiruddin Che Ku Abu Bakar, 22 ditemui terapung kira-kira pukul 9.30 pagi tadi tidak jauh dari tempat mangsa dilapor hilang.

Mayat mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat yang disertai pasukan polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung yang menyambung operasi mencari kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Che Ku Amiruddin dilapor hilang ketika berenang menyeberangi sungai itu bersama abangnya Che Ku Amar, 30, kira-kira pukul 6.30 petang Sabtu lepas.

Kedua-dua beradik itu dikatakan berbuat demikian untuk meninjau jentera pengorek tanah milik ayah mereka yang ditinggalkan di seberang sungai.

Abangnya yang sempat berpaut pada pokok buluh hanyut diselamatkan seorang pemancing menaiki sebuah bot yang kebetulan lalu di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan penemuan mayat mangsa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain