suria

Mayat Seorang Nelayan Hilang Di Perairan Bt Payung Ditemui

TAWAU: Mayat seorang daripada dua nelayan yang dilapor hilang selepas terjatuh daripada perahu mereka ketika memancing di kawasan perairan Batu Payung semalam, ditemui pada Sabtu.

Mayat Zulkarnain Jabir, 27, ditemui oleh orang ramai pada pukul 7.31 pagi, tidak jauh dari lokasi dia dilihat pada kali terakhir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Rudy Frezek ketika dihubungi berkata pasukan mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai agensi dan dibantu nelayan tempatan kini meneruskan usaha mencari seorang lagi nelayan, Awang Suhaili Sahillah, 23.

Zulkarnain dan Awang Suhaili dilapor keluar memancing antara pukul 10 pagi dan 2 petang semalam sebelum mereka dilapor hilang.

Malam tadi Pembantu Menteri Kewangan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan melawat keluarga nelayan berkenaan dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Beliau mengingatkan nelayan supaya sentiasa berwaspada dan mengikut arahan pihak berkuasa selain perlu mengikuti perkembangan semasa sebelum turun ke laut demi keselamatan mereka. -BERNAMA

Artikel Lain