suria

Mayat Lelaki Reput Ditemui Dalam Rumah

KUALA TERENGGANU: Mayat seorang lelaki yang hampir reput ditemui di atas lantai rumahnya di Kampung Padang Air, di sini semalam.

Mayat Jamaluddin Mohd Wakil, 51, ditemui pada pukul 7.30 malam oleh penduduk kampung yang ke rumah berkenaan apabila lelaki itu tidak kelihatan sejak tiga hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Air Abu Bakar Mohamad berkata mereka terpaksa memecah masuk ke rumah lelaki yang tinggal seorang diri dan hidup atas bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) itu.

"Kebiasannya, hampir setiap petang Jamaluddin menaiki basikal ke kedai berdekatan untuk minum bersama rakan-rakan lain, namun kelibatnya tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu dan ia menjadi tanda tanya buat kami.

"Sebaik pintu rumah dipecah, kami melihat mayatnya dalam keadaan hampir reput," katanya sambil memberitahu bahawa lelaki itu menghidap kencing manis, buah pinggang dan jantung.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. -BERNAMA

Artikel Lain