suria

Polis Cari Saksi Kejadian Warga Emas Maut Diragut

KEPALA BATAS: Polis merayu saksi yang melihat kejadian seorang warga emas maut apabila motosikalnya terbabas selepas rantai emas isterinya diragut dua lelaki di Jalan Permatang Manggis di sini Jumaat lalu, untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata kerjasama saksi itu akan membantu mempercepatkan proses siasatan sekali gus memberkas dua peragut berkenaan.

"Difahamkan kejadian ragut itu disaksikan oleh beberapa pengguna jalan raya yang melalui kawasan kejadian. Jadi kita meminta kerjasama saksi itu untuk tampil segera membantu polis menjalankan siasatan.

"Maklumat mereka (saksi) amat penting untuk bantu kes berkenaan dan polis beri jaminan identiti saksi yang memberi maklumat akan dilindungi," katanya.

Dalam kejadian pada 7.45 malam itu, A. Joseph, 64, seorang pesara Majlis Perbandaran Seberang Perai dan isterinya A. Alaies, 52 sedang dalam perjalanan menghadiri sambutan hari jadi anak saudara mereka di Kepala Batas dari rumah mereka di Bagan Ajam.

Menurut Abdul Rahman, pihaknya telah mengambil keterangan daripada isteri mangsa, namun ia belum cukup untuk mengesan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian itu.

"Dia tidak dapat mengecam jenis motosikal dan nombor pendaftaran dinaiki dua suspek itu kerana keadaan di kawasan kejadian yang sangat gelap.

"Selain itu, wanita itu juga mendakwa dia dalam ketakutan dan panik selepas motosikal dinaiki bersama suami terbabas dan terbalik," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain