suria

Misi Kemanusiaan KP1M Taufan Bopha Berjaya Salur Bantuan

KUALA LUMPUR: Kesemua 47 sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) selamat kembali ke tanah air malam Khamis selepas berjaya melaksanakan misi lima hari menghulurkan bantuan kemanusiaan di wilayah Mindanao selatan Filipina yang terjejas akibat taufan Bopha.

Misi itu membawa 36 tan barangan makanan, ubat-ubatan dan keperluan harian, termasuk kerusi roda untuk diagihkan kepada mangsa bencana.

Pesawat Charlie milik Tentera Diraja Udara Malaysia (TUDM) yang membawa anggota misi berkenaan dan pengamal media yang turut serta, mendarat di Pangkalan TUDM Subang pada 11.15 malam.

Pengerusi KP1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata misi itu yang tertumpu kepada kawasan pedalaman diterima baik oleh mangsa taufan Bopha dan telah berjaya mengagih bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan harian kepada lebih 30,000 keluarga mangsa taufan itu.

"Misi kali ini berjaya mencapai sasaran bantuan seperti yang dirancang sebelumnya dan kerajaan Filipina berterima kasih kepada kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap malapetaka yang menimpa rakyatnya," kata beliau kepada pemberita sejurus tiba.

Abdul Aziz berkata sungguhpun sebelum ini ada juga negara lain yang menyalurkan bantuan kemanusiaan melalui duta masing-masing, namun hanya sukarelawan Malaysia yang sanggup masuk ke kawasan pedalaman bagi menyaksikan sendiri bagaimana penderita hidup yang dialami oleh mangsa.

Beliau berkata misi kemanusiaan kali ini amat mencabar apabila pihaknya kerap kali menerima amaran tentang kemungkinan kawasan yang dilawati akan dilanda taufan semula.

Mengenai keadaan mangsa, Azeez berkata masih ramai yang memerlukan bantuan kemanusiaan bagi memulihkan keadaan terutamanya dari segi ekonomi kerana seluruh hasil tanaman penduduk musnah dibadai taufan lebih-lebih lagi 90 peratus punca pendapatan mereka adalah pertanian.

"Mereka amat berharap selepas ini ada pihak lain di Malaysia yang menghantar pasukan bagi meneliti impak ekonomi kepada masyarakat di kawasan bencana itu" katanya.

Azeez berkata kenangan yang tidak boleh beliau lupakan ialah masyarakat beragama Kristian di kawasan yang dilawati itu tetap menyambut Krismas dengan senyuman dan gembira meskipun dalam keadaan daif dan beberapa sukarelawan KP1M yang beragama Kristian turut bersama penduduk meraikannya.

Sementara itu wartawan Bernama, Nur Natasha Aida Ismail yang menyertai misi kemanusiaan itu berkata beliau sebak dan sayu apabila melihatkan penderitaaan yang dialami oleh mangsa taufan, senario yang tidak pernah berlaku di negara sendiri.

"Misi yang menjelajah ke ceruk kampung bagi mengagih bantuan kepada kanak-kanak dan wanita membuatkan saya rasa sayu melihatkan penderitaan yang terpaksa ditanggung mangsa.

"Sedih saya melihatkan anak-anak kecil yang terpaksa tinggal dalam keadaan daif dan serba kekurangan dan saya berharap makanan dan bantuan lain yang disalurkan mampu dimanfaat sebaiknya oleh mereka," katanya.

Taufan Bopha yang melanda Mindanao pada 3 Dis lepas dilaporkan telah meragut lebih 1,000 nyawa, mencederakan lebih 2,000 orang manakala 800 orang lagi masih hilang selain menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal serta kerosakan teruk terhadap tanaman serta kemudahan infrastruktur. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain