suria

Jumlah Mangsa Banjir Di Pantai Timur Meningkat

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di Kelantan, Pahang dan Terengganu terus meningkat, pagi Rabu.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri-negeri yang berkenaan, jumlah terkini mangsa yang dipindahkan ialah 13,746 orang berbanding 11,429 malam Selasa.

Di KELANTAN, 4,127 mangsa dicatat pagi Rabu berbanding kira-kira 3,000 orang malam Selasa dengan Pahang merekodkan 3,196 orang berbanding 2,329 malam Selasa manakala di Terengganu, 6,550 orang berbanding 6,100, malam Selasa.

Mangsa di Kelantan terdiri daripada 1,171 keluarga yang ditempatkan di 43 buah pusat pemindahan termasuk Jajahan Pasir Mas (2,781 orang), Kuala Krai (415), Tanah Merah (296), Kota Baharu (260), Tumpat (80) dan Machang (47).

Paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah menyusut ke paras amaran namun bacaan paras air sungai itu di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah juga berada di atas paras bahaya.

Sungai-sungai lain dilaporkan masih bertahan pada paras amaran.

Zon Bebas Cukai di Rantau Panjang yang terletak bersebelahan Sungai Golok dilaporkan masih lagi digenangi air limpahan sungai berkenaan dan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

Tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan di Kelantan sehingga kini dengan keadaan cuaca keseluruhannya mendung dengan sesekali hujan lebat.

Sementara itu, di PAHANG, 2,913 mangsa banjir ditempatkan di 15 pusat pemindahan di Kuantan, Rompin dan Pekan pada Rabu.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga pukul 9 pagi Rabu, empat daerah di Pahang dilaporkan mengalami banjir.

"Di Pekan, seramai 206 mangsa banjir dari Kampung Cenderawasih, Kalong dan Sungai Miang telah ditempatkan di SK Sinar Mutiara manakala daerah Rompin yang turut membuka satu pusat pemindahan banjir di Balai Raya Lentang menempatkan seramai 57 orang apabila penempatan mereka di kampung Perpat dinaiki air.

"Jerantut daerah terbaru mencatatkan mangsa pemindahan banjir iaitu seramai 20 orang dari Kampung Pagi yang ditempatkan di Masjid Kampung Pagi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, jalan Sungai Lembing-Kuantan ditutup kepada semua kenderaan iaitu di KM16, KM28, KM30 dan Jambatan Sungai Charu ke Sungai Lembing.

Di TERENGGANU, portal banjir kerajaan negeri melaporkan setakat ini mangsa yang paling ramai dipindahkan ialah di daerah Hulu Terengganu seramai 1,499 orang, diikuti Dungun (1,464 orang), Besut (1,906), Kemaman (982), Kuala Terengganu (807), Setiu (717) dan Marang (285).

Sehingga kini, 104 pusat penempatan banjir masih beroperasi iaitu di Hulu Terengganu (18), Besut (16), Dungun (18), Kemaman (16), Kuala Terengganu (lapan), Setiu (18) dan Marang (10).

Portal itu juga melaporkan bahawa semua jalan utama menuju ke Kota Bharu dan Kuantan telah boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Terengganu mencatat korban pertama semalam apabila seorang wanita lemas selepas dikatakan tergelincir ketika sedang menahan pukat bersama suaminya di Sungai Lanjut berdekatan Jambatan Permaisuri kira-kira pukul 3 petang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain