suria

UPP Patah Cubaan Seludup Beras Perang Dari Thailand

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam mematahkan cubaan menyeludup masuk 800 kilogram beras perang bernilai lebih RM4,000 dari Thailand di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini, Jumaat.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam ASP Baharim Khamis berkata dalam operasi pada kira-kira 1 tengah hari itu, pihaknya menahan sebuah lori kontena menghala ke Changlun dan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang membawa ikan tersebut membawa kepada penemuan 160 bungkusan plastik hitam dan lutsinar berisi beras perang, yang disorok di bahagian chasis lori berkenaan.

Beliau berkata lori kontena itu baharu sahaja melepasi pintu sempadan Malaysia-Thailand menuju ke rumah pemandu lelaki berusia 33 tahun itu di Butterworth, Pulau Pinang.

"Kita percaya barangan tersebut milik pemandu yang mahu menjual beras kepada pembeli di Pulau Pinang sebagai sumber pendapatan tambahan," katanya kepada pemberita di Pejabat UPP Bukit Kayu Hitam pada Jumaat.

Baharim berkata pihaknya menahan pemandu itu mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda 10 kali ganda nilai barangan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes itu akan diserah kepda Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut. -BERNAMA

Artikel Lain