suria

Siapapun Calon BN, Umno Perak Tetap Jadi Penggempur Hadapi PRU13

IPOH: Beberapa Umno Bahagian di Perak menyatakan akan akur terhadap apa jua keputusan pucuk pimpinan parti mengenai calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Ketua Umno Bahagian Taiping, Bukit Gantang, Larut dan Kuala Kangsar berkata demikian seiring dengan ikrar akan bertindak sebagai jentera tulang belakang dan 'penggempur' BN dalam menghadapi pembangkang.

Ini kerana mereka sedar yang lebih penting bagi PRU-13 yang disifatkan ibu segala pilihan raya ini adalah kemenangan dua pertiga atau kejayaan lebih besar BN di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Umno Bahagian Taiping Datuk Ahmad Shalimin Ahmad menegaskan semua anggota perlu kembali kepada asas perjuangan dan kewajipan yang digariskan perlembagaan parti termasuk menyokong serta menerima sesiapa sahaja calon yang dipilih mewakili BN.

"Saya selaku ketua bahagian bersama-sama pemimpin dan anggota Umno Taiping tiada masalah walau siapapun menjadi calon BN. Kami akan bekerja kerana selama ini jelas, walaupun bukan anggota Umno yang bertanding bagi kerusi Parlimen Taiping, kerusi DUN Pokok Assam dan Aulong, Umno tetap menjadi jentera kuat membantu BN," katanya kepada Bernama.

Ahmad Shalimin menekankan perlunya muhasabah diri dalam kalangan anggota parti kerana asas kemenangan dan kejayaan BN adalah perpaduan, baik dalam Umno mahupun sesama anggota komponen BN.

Melafazkan ikrar dan janji serupa, Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang Datuk Rosli Husin berkata: "Seperti kita selalu cakap, pemilihan terserah kepada pucuk pimpinan yang akan membuat penilaian termasuk aspek hierarki dalam parti. Saya dan anggota Umno di Bukit Gantang berjanji siapapun calon, kami akan terima."

Rosli yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Trong turut berikrar bahawa Umno bahagian itu akan berperang habis-habisan bagi memastikan B Nmemenangi semua kerusi mencakupi kawasan Parlimen Bukit Gantang dan DUN Trong, Changkat Jering dan Kuala Sepetang pada pilihan raya umum akan datang.

Bagi Ketua Umno Bahagian Larut Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, tiada tolak-ansur dalam memastikan kemenangan semua kerusi iaitu Parlimen Larut dan tiga kerusi DUN iaitu Selama, Kubu Gajah dan Batu Kurau, demi masa depan BN dan Umno.

"Ya, kita akan akur apapun keputusan pucuk pimpinan dan kita tidak mahu 'pisang berbuah dua kali' seperti yang berlaku pada pilihan raya umum ke-12, yang mana soal pemilihan calon tidak dibincangkan bersama-sama bahagian," jelasnya.

Raja Ahmad Zainuddin yang juga Adun Kubu Gajah berkata kesedaran dan semangat anggota bahagian sangat tinggi dan mereka tidak sabar untuk bertempur dalam perang pilihan raya kali ini.

Ketua Bahagian Kuala Kangsar Datuk Ramly Zahari pula merujuk kepada harapan Umno dan BN kawasan itu supaya calon boleh menang serta berupaya memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, yang dipilih.

"Apa sahaja keputusan pucuk pimpinan, kami terima. Kami akur kerana perkara itu kami serahkan 100 peratus supaya pemimpin atasan dapat membuat pemilihan," kata Ramly yang juga pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri.

Beliau menarik pehatian usaha memperkukuh sokongan untuk memastikan kemenangan besar BN dalam PRU diteruskan dengan majlis penerangan mengenai amanat presiden parti sekembalinya dari perhimpunan agung Umno.

"Kami telah menggerakkan beberapa program termasuk oleh sayap-sayap parti peringkat bahagian. Kami percaya kesemua kerusi pilihan raya di Kuala Kangsar dapat dipertahan. Semangat dan kesedaran anggota juga tinggi dan saya yakin mereka memahami aspirasi yang dicetuskan oleh presiden parti," katanya.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak bau-baru ini melontarkan soalan 'cepumas' penuh bermakna bagi menguji tahap kesediaan anggota Umno untuk menyokong parti, sekiranya mereka tidak terpilih sebagai calon pilihan raya nanti, semasa penggulungan perbahasan pada sesi penutup Perhimpunan Agung Umno 2012.

Lima kemungkinan ditawarkan Najib bagi menjawab soalan cepumas yang sarat dengan mesej itu sokong sepenuhnya calon dipilih parti; sokong; tidak bekerja; sabotaj; atau lompat parti. -BERNAMA

Artikel Lain