suria

Warga Arab Saudi Dahului 304 Penerima Darjah Kebesaran Persekutuan Di Istana Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Selasa menganugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) (Kehormat) kepada warga Arab Saudi, Syeikh Zuhair Abdul Hamid Mokhtar Sadayo di Istana Negara.

Syeikh Zuhair, pengerusi Majlis Lembaga Pengarah Muassasah Asia Tenggara Arab Saudi, adalah penerima tunggal darjah itu yang membawa gelaran Tan Sri.

Beliau mendahului senarai 304 penerima pingat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang-bintang dan Pingat-pingat Persekutuan 2012 sempena ulang tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Tuanku Abdul Halim turut mengurniakan darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk' kepada Ketua Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh Datuk Dr Christopher Lee Kwok Choong.

Turut menerima PJN ialah Setiausaha Bahagian Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan dan Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah Datuk Samson Chin Chee Tsu.

Seri Paduka turut mengurniakan darjah Johan Mangku Negara (JMN) kepada seorang penerima, lima penerima Johan Setia Mahkota (JSM) serta seorang penerima darjah Johan Setia Diraja (JSD).

Seramai 26 orang pula menerima darjah Kesatria Mangku Negara (KMN), 44 orang menerima darjah Ahli Mangku Negara (AMN) dan 223 orang dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN). BERNAMA

Artikel Lain