suria

Pelajar Perubatan Antara Yang Dipanggil Temu Duga Awal - SPA

KUANTAN: Penuntut semester akhir jurusan perubatan, farmasi dan pergigian kini ditemu duga lebih awal oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi mengisi kekosongan jawatan dalam bidang terbabit.

Timbalan Pengerusinya Datuk R. Segarajah berkata menerusi kaedah itu, pelajar yang terpilih boleh memulakan kerja sebulan selepas menerima keputusan peperiksaan semester akhir, berbanding lebih enam bulan sebelum ini.

"Jawatan dalam ketiga-tiga bidang tersebut merupakan paling banyak kekosongan dalam sektor kerajaan berbanding jawatan lain, oleh itu dengan pendekatan baru ini dapat memenuhi kekosongan yang ada," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi interaksi SPA dengan ketua-ketua jabatan persekutuan, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan, di sini Rabu.

Katanya usaha itu merupakan sebahagian daripada proses transformasi SPA seperti yang dituntut orang ramai.

Sebelum ini, pelajar jurusan terbabit perlu mendapat keputusan akhir terlebih dahulu sebelum boleh dipanggil temu duga, dan ini menyebabkan pengambilan penjawat awam baharu mengambil masa lebih enam bulan, katanya.

Mengenai sesi interaksi itu, Segarajah berkata setakat ini sebanyak 12 sesi telah diadakan sejak Jun.

Sesi bertujuan mendapat maklum balas dan pandangan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan SPA terutama pada aspek pengambilan, perkhidmatan, kenaikan pangkat dan tatatertib, katanya. BERNAMA

Artikel Lain